Siapa sebenarnya yang mengganggu ketenteraman insan??



Assalamualaikum w.b.t. Salam perjuangan buat semua sahabat yang ana kasihi sekalian. Alhamdulillah, bersyukur kita kepada NYA kerana masih lagi mengurniakan kita pelbagai nikmat terutamanya nikmat iman dan juga islam.Selawat dan salam juga dihadiahkan buat junjungan besar nabi kita Nabi Muhammad S.A.W.

Waktu yang ada ini , ana ingin berkongsi dan berbincang dengan para sahabat berkenaan satu perkara yang tidak asing lagi bagi kita.Kisah nya bermula begini, pada satu hari , ana bersembang dengan salah seorang sahabat kita dari Darul Quran berkenaan masalah manusia sekarang. Perbualan yang pada mulanya hanyalah sekadar perbualan kosong menjadi satu perbualan yang rancak setelah sahabat ana ini bertanya berkenaan masalah sosial yang nampaknya begitu meruncing sekarang.

“Akh , anta rasa siapa sebenarnya yang selalu mengganggu seksualiti manusia? Lelaki atau perempuan?” Tanya sahabat ana kepada ana.

“Emm.entahlah.  Anta rasa siapa? Bagi ana kita sebenarnya yang diganggu dan bukan perempuan yang diganggu.” Jawapan ana ringkas dan Nampak riaksi wajahnya seperti membenarkan jawapan ana.

“Yup. Betul tu sheikh. Bagi ana kita sebenarnya yang terganggu dan bukan perempuan. Lihat sahaja sekarang , perempuan di sana sini berpakaian seperti tidak berpakaian. Bertudung , tetapi terdedah sana , terdedah sini. “Jawabnya panjang.

Baiklah sahabat-sahabat sekalian,

Mari kita bincangkan bersama di mana silapnya. Ana sebenarnya menyokong 100% pendapat sahabat ana itu. Memanag tak dapat dinafikan sekarang, perempuan zaman sekarang amat jauh dari ciri-ciri seorang muslimah yang Mithali (tak semua la) Mereka semua berpakaian seperti tidak ingat dunia , tidak ingat mati dan lebih teruk lagi sehingga tidak tahu bahawa ALLAH itu melihatnya.

Dari segi saintifiknya seorang lelaki itu dicipta dengan matanya yang sangat sensitf manakala seorang perempuan itu amat sensitive terhadap sentuhan. Dan dari sini sudah jelas bahawa , seorang lelaki itu amat terseksa zahir dan batinnya apabila seorang perempuan dengan tidak malunya berpakaian yang tidak senonoh di hadapannya.Memang tidak dapat dinafikan yang lelaki itu mungkin salah juga kerana memandang perempuan tersebut. Tetapi , cuba kita terbalikkan situasi tadi. Perempuan tadi berpakaian elok dan menutup semua auratnya dengan sempurna.

Ana ingin bertanya kepada sahabat-sahabat semua? Adakah lelaki tadi akan teransang atau tidak. Mungkin ya atau tidak. Jika ya , memang hatinya ada masalah dan jika tidak , itulah sebenarnya kesan daripada tindakan perempuan tadi.

ALLAH TAALA telah berfirman di dalam Al-Quran pada Surah An-Nur ayat 30.

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Seterusnya , ALLAH berfirman lagi dalam surah yang sama pada ayat 31 .

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."


Mengapa mahu cantik sangat.
 Sememangnya sudah menjadi fitrah setiap manusia mahukan kecantikan dan kesempurnaan. Bak trademark iklan dalam Televisyen “ Kecantikan adalah hak milik setiap insan “. Ya. Benar. Tepat sekali. Tetapi kecantikan yang ALLAH kurniakan itu sebenarnya untuk siapa?

 Adakah untuk ditunjuk-tunjuk?
Adakah untuk dipamer-pamerkan?
 Dan adakah untuk dipertandigkan?

Ana rasa antum dan antunna semua ada jawapannya sendiri dan tidak perlu ana jelaskan.

ALLAH berfirman lagi di dalam Al-Quran pada Surah Al-Isro’.

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya."

Jelas di atas bukan. ALLAH telah menyatakan bahawa apa yang kamu dengar , lihat dan apa jua yang ada dalam hati kamu semuanya akan ditanya kelak. Sahabat-sahabat sekalian , apa kita nak jawab andai kita tidak menjaga perkara-perkara di atas. Mungkin bukan salah kita.

Terpandang la bang, nak buat macam mana??
Ala bang, dia yang pakai macam tu. Siapa yang suruh??

Pelbagai jawapan boleh diberi , tetapi adakah di hadapan ALLAH nanti kita boleh jawab macam tu?
Cubalah jawab macam tu. Rasanya macam tak boleh sebab yang jawab nanti bukan mulut kita tetapi semua anggota kita.

FirmanNYA dalam Surah Yassin ayat 65

"Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan."

Tetapi.

Bukan perkara ini yang mahu bangkitkan. Yang mahu ana bangkitkan di sini ialah balasan orang yang mendedahkan auratnya dan membuatkan orang lain berdosa. Itu lagi berdosa jika nak dibandingkan dengan golongan tadi. Kamu membiarkan orang lain terseksa jiwa dan hatinya dengan berpakaian yang  tidak menutup aurat. Kamu biarkan orang lain melihat aurat kamu dan kamu berbangga bila mana mereka memuji mu.

Awak ni cantik la….
Cantik la bentuk badan awak.ni boleh jadi model terkenal ni??!!
Menawan betul awak ni. Tak tidur malam saya bila tengok awak.

Maka , perempuan itu pun tersipu-sipulah malunya. ALLAH , meluatnya bila melihatnya. Gembira bila membuat dosa adalah satu penyakit hati yang cukup parah. Gembira di hati sedangkan kemurkaan dan laknat yang besar dari ALLAH padanya atas apa yang dia lakukan.


Mengapa ALLAH jadikan kamu cantik.

Rasulullah SAW telah banyak kali menegaskan di sepanjang kehidupan Baginda. Antaranya sabda Baginda yang bermaksud : 

“ Tidakkah ingin kalian aku khabarkan tentang perkara terbaik dan paling berharga yang boleh dimiliki oleh seseorang? Iaitulah, isteri yang solehah, yang cirinya adalah menggembirakankan apabila memandang kepadanya. Jika disuruh, dia mentaatinya, dan bila kamu tiada, dia memelihara ( rahsia dan hartamu ) dengan sebaiknya.” 
 ( Riwayat Abu Daud dan al Hakim )

Sahabat sahabiah sekalian, ALLAH jadikan perempuan itu untuk menenangkan hati suaminya. Kerana hakikat kecantikan perempuan itu adalah layak ditatapi dan dihayati oleh suaminya dan bukan orang lain yang bukan ajnabi. ALLAH menjadikan isteri-isteri itu sebagai penenang bagi suami-suami.

Apaabila si suami pulang ke rumah , badan terasa sungguh penat , mata pula merasa cukup-cukup letih.Tetapi apabila melihat si isteri yang cukup cantik dan sopan santun , hilang segala penatnya dan badan yang tidak tenaga tiba-tiba bersemangat.

Itulah sebenarnya kekuatan kamu wahai perempuan. Kecantikan mu bukan untuk dipertontonkan dan ditayang-tayang. Kecantikan mu adalah hak milik mutlak bakal suamimu nanti. Tetapi jika kamu sudah menjual segala kecantikan mu kepada orang awam. Dirimu seolah-olah tiada bernilai lagi. Hilang segala  maruah mu dan manis mu. Kamu sudah tiada nilai lagi walupun pada zahirnya kamu masih cantik.

Apa yang sepatutnya saya buat.

Sama seperti seorang lelaki. Kita perlu menjaga pandangan kita. Menundukkan pandangan itu akan menjaga hati kamu secara automaitk. Kerana pepatah ada mengatakan bahawa dari mata itu akan turun ke hati.

Tetapi, bagi kamu yang bergelar hawa , kasihanilah kami kaum Adam yang lemah ini. Kami diciptakan dengan naluri mata yang sangat mudah untuk teransang. Kamu sepatutnya menjaga diri kamu daripada berpakaian yang tidak senonoh. Buat apa mahu cantik-cantik andai kemurkaan ALLAH yang kamu terima. Kebencian manusia pula yang hinggap pada diri kamu. Tanpa disedari kamu sebenarnya dicaci dan dihina secara diam kerana tingkah lakumu.

Sedarlah apa yang kita lakukan semuanya akan dipersoalkan. Kehidupan ini hanya satu persinggahan dan satu hari nanti kita akan mati.

Cara mengatasi masalah ini :
  1.     Ketahuilah bahawa kita akan mati suatu hari nanti dan bertanggungjawab atas apa yang kita lakukan di dunia.
  2.   Dalamilah ilmu agama dan ketahui dan fahami hakikat sebenar mengapa ALLAH menyuruh kita menutup aurat.
  3.   Fahami dengan betul bahawa hokum menutup aurat adalah wajib ke atas setiap manusia mengikut jantinanya. 
  4.   Bersederhana dalam berpakaian dan pupuklah diri untuk bersifat tawadhuk dalam setiap perkara
Akhir kalam , ana menyeru pada semua sahabat agar bersamalah kita berubah daripada keburukan kepada kebaikan. Daripada berpakaian yang tidak menutup aurat kepada berpakaian yang kemas dan sempurna hukumnya. Keindahan islam itu dicerminkan oleh kita sebagai penganutnya. Jika kita sendiri tidak menjaga Agama kita , apa tanggapan orang lain pada agama kita.

Ana cukup-cukup optimis bahawa sahabat-sahabat semua dapat mengubah keadaan diri sahabat sekalian. Tidak perlu terburu-buru dan tergesa-gesa. Berubahlah secara sedikit-sedikit dan jangan sampai tertekan .

ALLAH itu pencita kita dan DIA tahu apa yang baik untuk kita. Dia tahu setiap perkara yang akan berlaku dan mengetehui apa yang tak elok untuk kita.

Oleh itu, marilah kita berazam untuk mengislahkan diri kearah yang lebih baik.InsyaALLAH, bila kita jaga ALLAH TAALA , ALLAH TAALA pasti dan pasti akan menjaga kita setiap masa dan ketika.

WALLAHUA’LÄM..





















HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM


Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu IMAN. Firman ALLAH S.W.T dalam Al-Quran yang tafsirnya : 

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada ALLAH. Ketahuilah! Dengan zikir kepada ALLAH itu,tenang tenteramlah hati manusia ”.(Surah Ar-Ra’ad : 28). 

Oleh itu, orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan ALLAh dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah, dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan ALLAH S.W.T, dan menerima segala ketentuan daripada ALLAH S.W.T. Apabila melaksanakan perintah ALLAh, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut. Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh ALLAH. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan ALLAH, membuatkannya tidak pernah resah.

Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka tehibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman ALLAH S.W.T. yang tafsirnya : 

“(katakanlah wahai orang-orang yang beriman : “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah) :celupan ALLAH (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) : dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada ALLAH? (kami tetap percayakan ALLAH) dan kepadaNya lah kami beribadat ”.
(surah Al-Baqarah : 138). 

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan ALLAH S.W.T.. mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit-bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptanya. Sifat yang demikian merupakan sifat orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hokum dan undang-undang ALLAH S.W.T.. firman ALLAH tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh ALLAH di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan ALLAH) kepada kaum yang bertakwa ” (Surah Yunus : 6 ). 

Selain itu, mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya : 

“Sesungguhnya ALLAH itu indah. Dia suka keindahan”.
(Hadis riwayat Muslim).

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalam hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Quran, selawat yang memuji nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman ALLAH yang tafsirnya : 

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya,dengan berbagai cara) : yang (oleh kerana mendengarnya atau membaca) kulit badan orang-orang yang takut kepada tuhan mereka menjadi seram : kemudian kulit badan menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat ALLAH”.
(Surah Az-Zumar : 23 ). 

Rasulullah S.A.W. dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur. Baginda bersabda yang maksudnya : 

“ Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.
(Hadis riwayat An-Nasai’e)


WALLAHUA'LAM.

ADAB DUDUK DALAM MAJLIS ILMU


          Daripada Abu Waqid al-Laitsi r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. sedang duduk di masjid bersama orang ramai ketika menyampaikan ceramahnya, tiba-tiba datang tiga orang lelaki. Dua daripada mereka mendatangi Nabi s.a.w.,sedang yang seorang lagi terus pergi begitu sahaja. Seorang daripada mereka mencari-cari ruanh yang kosong dalam majlis itu, lalu dia duduk di situ. Dan yang seorang lagi terus duduk di belakang. Setelah Rasulullah s.a.w. selesai memberikan pengajian, Baginda bersabda yang bermaksud, “Perhatikanlah, kuberitahukan kepada anda sekalian tentang orang yang bertiga itu. Seorang antaranya mencari tempat di sisi Allah, maka Allah melapangkan tempat baginya. Orang yang kedua malu-malu, maka Allah malu pula padanya. Dan orang yang ketiga jelas berpaling, maka Allah berpaling pula daripadanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

 Pengajaran yang boleh diambil :

  1. Seorang yang alim menyampaikan kuliahnya hendaklah duduk di tengah-tengah muridnya di tempat yang boleh dilihat dengan jelas oleh semua orang.
  2. Disunatkan duduk dalam masjid untuk muzakarah yang membincangkan tentang ilmu.
  3. Disunatkan membentuk halaqah dalam majlis ilmu dan zikir.
  4. Makruh keluar dri dalam masjid ketika sedang berlangsungnya ceramah tanpa alasan yang munasabah.
  5. Disunatkan mendekati orang yang berilmu dalam halqah agar dapat mendengar penenrangannya dengan jelas.
  6. Seorang yang ingin bergabung dalam halaqah jika melihat ada tempat duduk renggang hendaklah ia duduk di tempat duduk tersebut, bukan di belakang para jemaah.
  7. Harus memberikan pujian kepada seseorang yang berbuat kebaikan.
  8. Harus menceritakan tentang keburukan yang dilakukan oleh seseorang secara terang-terangan.
  9. Orang yang terlebih dahulu mendahului suatu tempat dalam majilis ilmu maka jika ia kembali ia lebih berhaj untuk duduk di tempat tersebut.
  10. Kita hendaklah mengisi kawasan yang renggang dengan penuh adab tanpa mengganggu para hadirin yang sedia ada.
  11. Hendaklah duduk tetap di suatu tempat sehingga selesai pengajian atau ceramah melainkan jika ada keuzuran.

Ya ALLAH, hantarkan kepadaku jenazah tebuan berbisa...

Asim bin Thabit r.a merupakan seorang sahabat yang gagah dan mempunyai keazaman yang tinggi. Sebelum meletusnya peperangan Uhud Nabi s.a.w telah bertanya kepada perajurit muslimin, bagaimanakah kamu akan berperang kelak ? Thabit telah tampil seraya berkata : Apabila musuh telah hampIr seratus kaki maka panahlah yang paling sesuai digunakan. Apabila mereka lebih hampir dengan kita tentulah lembing akan berperanan menghancurkan mereka. Jika jarak telah menjadi lebih dekat selepas itu hanya pedang yang akan menyelesaikan mereka.

Mendengar kata-katanya yang bersemangat itu, Nabi saw telah bersabda, maksudnya : “Sesiapa yang ingin berjuang, maka hendaklah dia mencontohi Asim bin Thabit! 

Apabila meletus peperangan Uhud seperti yang dijanjikan kepada Rasulullah saw, Asim telah keluar umpama singa garang yang kelaparan. Beliau telah berhasil membunuh anak-anak lelaki kepada Sulafah binti Sa’ad yang bernama Musafik, Kilab dan al-Julas. Pembunuhan yang dilakukan terhadap tiga beradik ini telah membangkitkan rasa marah diikuti dengan dendam untuk menuntut bela terhadap mereka. 

Ibu ini telah berikrar memberikan ganjaran yang hebat kepada sesiapa yang berjaya membunuh balas pembunuh putera-puteranya itu. Peperangan Uhud yang berakhir dengan seribu kenangan dan pengajaran buat umat Islam telah berakhir lalu Nabi mengutuskan tentera seramai 6 orang diketuai oleh Asim bin Thabit r.a.Ketika rombongan tentera ini berada di pertengahan jalan tidak jauh dari Mekah, kaum Huzail yang tinggal di kawasan itu yang masih lagi belum memasuki Islam telah mengepung mereka.

Asim bersama tentera-tentera Islam yang lain tidak ada pilihan melainkan berjuang mempertahankan diri. Kini golongan musyrikin Huzail menjanjikan keselamatan terhadap mereka jika mereka bersetuju menyerahkan diri. Walaubagaimanapun, Asim bertegas untuk mempertahankan dri dengan katanya : “ Adapun pada pandanganku, aku tidak akan menyerahkan diriku kepada seseorang musyrik. Tawaran Sulafah tempoh hari masih terngiang-ngiang dalam fikirannya. 

Kata-kata beliau yang terakhir sebelum berlakunya pertembungan itu adalah : “ Ya Allah, sesungguhnya aku ini mempertahankan agamaMu dan memperjuangkannya ! Maka peliharalah tubuhku dan tulangku , dan jangan Engkau izinkan keduanya dari dikuasai oleh mereka!Kedahsyatan penganiyaan yang dilakukan oleh musush-musuh Islam terhadap jasad syuhada’ Islam yang gugur di medan Uhud masih lagi segar dalam ingatannya. Penganiayaan kepada jasad Hamzah yang sudah kaku oleh Hindun, isteri kepada jenneral tentera kuffar yang menyerang Madinah. Asim merasa yakin akan bantuan Allah dan pelindunganNya dari musuh-musuh Islam.

Asim memulakan serangan disertai dengan dua orang sahabatnya. Manakala yang lain menyerahkan diri mereka. Setelah berjuang habis-habisan bagaikan singa yang kelaparan, kesemua tiga orang sahabat , termauk Asim akhirnya terkorban sebagai syahid. Musuh-musuh Islam telah memperlakukan tiga orang yang menyerah diri dengan seburuk-buruk layanan. Sangkaan mereka, akan mendapat layanan seperti tawanan meleset sama sekali, apabila musuh bertindak dengan lebih ganas iaitu membunuh mereka. Musuh-musuh tidak menyedari bahawa salah seorang yang dibunuh itu merupakan Asim yang diharap-harapkan oleh ramai musuh untuk membunuhnya.Tawaran oleh Sulafah amatlah menggiurkan dan kebanyakan mereka telah terpikat dengannya.

Sebaik sahaja berita kematian Asim tersebar ke kawasan berdekatan, datanglah utusan Quraisy dari Mekah yang terletak berdekatan dengan tempat pembunuhannya, meminta agar diserahkan kepala Asim kepada Sulafah bagi memenuhi hajat dan dendam kesumat yang bersarang di lubuk hatinya, terhadap pembunuh ke tiga anak lelakinya.Berebut-rebutlah kaum Arab dari suku Huzail untuk mendapat anugerah yang dijanjikan itu. 

Sampai berdekatan dengan jasad Asim, mereka yang ingin memenggal kepalanya itu terkejut melihat ribuan lebah dan tebuan padang pasir menyelaputi jasadnya, seolah-olah padanya ada sarangnya yang dipertahankan dari penceroboh. Segelintir yang cuba mara kearah mayat disengat di kepala dan mata. Tebuan padang pasir amat ditakuti oleh manusia. Sengatannya mampu menyebabkan kelumpuhan pada system pertahanan badan malah membawa pada kematian.

Setelah berusaha berbagai cara menghalau lebah dan penyengat itu tanpa membuahkan sebarang hasil, akhirnya mereka berehat menanti hari malam dengan anggapan serangga itu akan meninggalkan jasadnya menjelang kegelapan. Belumpun kegelapan menyelubungi siang, tiba-tiba dengan tidak semena-mena langit bertukar corak. Hari yang disangka terang bertukar menjadi gelap. Kilat sambar menyambar lalu turunlah hujan yang sangat lebat sehingga kawasan yang gersang menjadi lurah dan sungai yang deras. Kawasan pertempuran menjadi seolah-olah tasik dengan paras air yang naik dengan menggila, di luar kawalan. Hujan yang turun lebat tidak berhenti hingga tiba waktu Subuh keesokan hari baru ia reda.

Huzail masih lagi meletakkan dalam impian untuk menyerahkan kepala Asim yang dipenggal kepada Quraisy agar tenang roh tiga orang pemuda mereka seperti yang disangkakan oleh puak jahiliyyah. Namun impian hanya tinggal angan-angan kosong. Jasad Asim dipelihara Allah dari tangan-tangan jahat musuh-musuhNya. Tubuhnya hilang entah ke mana dalam kederasan air hujan di gurun sahara yang panas, tapi ruhnya sudah diambil Allah terbang ke syurga yang tinggi. Semoga Allah meredhainya.. Dia ikhlas dalam perjuangannya.. Dan Allah tidak sekali-kali menghampakan amalan hamba-hambaNya yang ikhlas..

FirmanNya dalam surah Ali Imran ayat ke 169-170 : Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang mati syahid pada jalan Allah itu mati, Bahkan sebaliknya mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki; (Dan juga) mereka bersukacita dengan kurniaan Allah (balasan mati Syahid) yang telah dilimpahkan kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai (saudara-saudaranya) orang-orang (Islam yang sedang berjuang), yang masih tinggal di belakang, yang belum (mati dan belum) sampai kepada mereka, (iaitu) bahawa tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita…wassalam