AKU HAMALATUL QURAN

Hafiz Al-Quran...Dirimu bak mutiara andai Al-Quran di dada mu dijaga.
 
Assalamualaikum w.b.t. Alhamdulillah, bersyukur padaNya kerana masih lagi memberi peluang pada diri ini untuk terus hidup disamping terus berusaha untuk menambahkan amalan dan sentiasa berusaha untuk mengislahkan diri ini.

SunhanALLAH, sudah lama tak update blog ini.Maaf kiranya ada sahabat-sahabat yang menunggu post-post terbaru dalam blog ini.Kalau nak dikirakan, mana sangatlah ilmu ini yang mahu dikongsikan bersama. Apa-apa pun , InsyaALLAH, segala apa yang ALLAH tumpangkan dalam  hidup ana , ana cuba kongsikan dengan sahabat-sahabat.

Sahabat-sahabat yang ana hormati,

Artikel yang biasa sahaja ini ana tujukan khas buat semua para sahabat ana yang pernah dana sedang bergelar AL-HAFIZ @ Al-HAFIZAH ,sama ada antum  semua mengenali ana atau pun tidak.Pesanan ini hamba yang kerdil serta hina ini ana tujukan hanya sekadar sebagai satu perkongsian kerana diri ini pun sama titlenya seperti saudara dan saudari yang pernah menghafal surat cinta dariNYA yang cukup-cukup bermakna buat kita.


 Ana menulis bisikan ketenangan menyelubungi nurani, kesyahduan yang ana rasakan amat bererti, acap kali ana terdengar alunan suara insan-insan kerdil membasahi lidah dengan kalamMu ya Ilahi, tiada putus-putus mendampingi kitabMu, membaca, mentadabbur, meneliti ayat-ayat suci. Segolongan insan yang dihormati, segolongan insan yang dipandang tinggi, inilah yang bergelar Hamalatul Quran, iaitu pendukung kitab suci. Hamalatul Quran itulah aku!

Terngiang-ngiang di telinga ana ungkapan kata yang penuh makna, yang  hanya dapat dihayati oleh hati-hati yang suci. Wasiat Ibnu Ma’ud yang berbunyi...“seharusnya bagi seseorang Hamalatul Quran itu mengetahui malamnya ketika manusia dibuai mimpi, siangnya ketika manusia bergelak ketawa, diamnya ketika manusia berkata yang sia-sia, dan khusyuknya ketika manusia leka dengan kehidupan dunia…” ana cuba  merenung sejenak, Hamalatul Quran…begitukah kita? 

Kalamullah

Kata-kata itu mengetuk fikiran ana, menyentuh hati ini, menyedarkan ana dari lamunan yang tiada penghujung, betapa Hamalatul Quran yang hakiki adalah insan-insan yang sanggup bermujahadah dalam kepayahan, mampu berkorban dalam tangisan dan rela imannya diuji dalam keperitan…Baru ana sedar, Hamalatul Quran…Kau luar biasa! Tatkala ana imbas kembali kisah silam diri ini yang penuh dengan kelalaian, kealpaan, keseronokan seperti orang-orang kebanyakan , sememangnya tidak layak untuk diri ini dianugerahi dengan permata Ilahi yang nilainya terlalu tinggi jika dibanding dengan diri yang dhaif ini...

Namun…

apa yang mahu dirisaukan

Kau anugerahkan jua kepada diri yang hina ini satu  kemulian in yang menjadi dambaan hamba-hambaNYA, menjadi salah seorang insan pilihanMu, di dalam dunia Hamalatul Quran yang penuh janji-janji manis di akhirat nanti… ibu bapaku bakal ana pakaikan dengan mahkota sebagai hadiah pengorbanan mereka mendidik diri ini dalam mengenali kehidupan insani. Tidak mahukah dibangkitkan dengan sinaran cahaya jernih yang terpancar pada wajah yang berseri-seri? Hamalatul Quran, alangkah beruntungnya dikau…!

Sahabat-sahabat,

Diri ini mahu berpesan kepada diri ini dan kepada semua sahabat-sahabat yang disayangi.Berapa kalikah kita mengulang kembali Al-Quran yang sudah bertapak di hati? Kalau banyak, Alhamdulillah ,anda beruntung. Tetapi , andai sedikit yang kita ulangkajinya, maka, boleh jadi kurang juga ia melekat secara tetap di dalam hati.Andai dikau terlupa, adakah ketakutan menyelubungi dirimu? Atau tiada sebarang perasaan langsung yang terdetik dalam fikiranmu tentang betapa kita perlu berusaha untuk mengingatinya kembali.

Hakikat Al-Quran itu adalah satu mukjizat dan kurniaan dariNYA yang diturunkan sebagai panduan dalam hidup kita.Lupa itu satu adat. Kalau lah kita dapat hafalnya dan terus ingat sampai bila-bila, sudah tentu hilanglah kelebihan yang diberikan pada Al-Quran. Sudah tentu kita tidak akan cuba untuk membacanya kembali kerana ianya sudah kita ingat secara masyi di mulut. Tebuk sahaja di mana-mana, di tengah ayat, awal surah, juzu’ atau di mana-mana , kita dapat menjawabnya.

Tetapi,

ALLAH ciptakan satu fitrah yang semulajadi yang mana setiap manusia mempunyai sifat tersebut. LUPA. Satu penyakit yang menjadikan kita akan terus berusaha untuk menngatasinya. Hakikat lupa sebenarnya adalah satu nikmat yang tidak terhingga banyaknya.Cuba sahabat-sahabat bayangkan, kita cuba mengulang Al-Quran, ingat punya ingat, tidak juga lekat di kepala. Tetapi, sedarkah kita wahai sahabat-sahabat ku, dah berapa kali kita baca satu perkataan dan mungkin satu ayat itu untuk kita hafalnya. Berapa?? Ada 10, 20 atau mungkin 100. Lepas itu, sahabat-sahabat darabkan dengan sepuluh untuk setiap HURUFNYA. Bayangkan, mudah sungguh untuk kita mendapat pahala dan ganjaran dariNYA.

Oleh itu, janganlah sahabat-sahabat berputus asa hanya kerana kita sudah lupa sebahagian dari ayatNYA. Kerana, ia merupakan satu lumrah bagi setiap para hafiz Al-Quran. Apa yang penting, sahabat- sahabat semua jangan berputus asa untuk mengingatinya semula. Sedikit demi sedikit pun tudak mengapa, yang penting jangan sekali-kali kita meninggalkan terus. Ana juga seperti sahabat-sahabat yang lain. Ana juga tidak ingat semua ayat yang ana hafal. Tapi, apa yang ana cuba lakukan, ana cuba menghafalnya dalam satau @ dua muka dalam satu hari. Andai ana tidak menghafalnya pada satu-satu hari, ana akan gantinya dengan mengulang  pada mana-mana ayat yang ana sudah hafal dan ayat-ayat yang masih ana ingat.

Tidak rugi jika menjaganya

Sedikit perkongsian, bagi ana, sahabat-sahabat perlu mengambil peluang yang ada untuk mengulang Al-Quran di mana-mana Maahad Tahfiz, tidak kira swasta ataupun swasta mahupun sahabat-sahabat mahu mengulang dengan mana-mana guru. Apa yang penting, untuk menjadikan hafalan kita lebih kuat, kita perlu membacanya di hadapan seorang guru. Tidak semestinya dengan guru, sahabat-sahabat juga boleh mengulangnya dengan sahabat-sahabat yang sudi untuk mendengar hafalan saudara/ri. Jangan biarkan masa yang ada dibuang dengan sia –sia tanpa kita manfaatkannya dengan aktiviti-aktiviti yang membantu kita untuk mengingati semula Al-Quran.

Alhamdulillah, pada cuti sem 1 yang lepas, ana berpeluang untuk mengulang Al-Quran di Pondok Pasir Tumboh. Ana hanya berkesempatan untuk mengulang di sana selama 4 hari. Ana lihat ramai para huffaz yang rata-rata dari universiti-universiti tempatan mahupun dari mana-mana tempat mengambil peluang yang berharga dalam cuti mereka untuk mengulang Al-Quran di sana.

Seterusnya, ana menyambung hafalan ana di Maahad Tahfiz Al-Quran Mersing di mersing Johor. Ana dapat lihat situasituasi yang sama berlaku di sana. Ramai  para huffaz dari beberapa tempat dantang mengisi masa cuti mereka dengan mengulang Al-Quran di sana.

Sahabat-sahabat, tidak rugi andai kita sediakan waktu dan masa kita sepenuhnya untuk Al-Quran.
Ana teringat pada kata-kata murabbi ana di Maahad Tahfiz Mersing. Sebuah hadith yang cukup-cukup bermakna untuk kita renungi.

Mafhumnya…

“  Sesungguhnya golongan yang menghafal Al-Quran itu tidak akan hancur jasadnya ketika di dalam kubur kelak. Bertanya Rasulullah pada binatang yang hidup di dalam tanah yang memakan daging manusia, mengapa kamu tidak makan jasad orang itu sedangkan kamu makan jasad-jasad manusia yang lain. Maka berkata ulat tersebut,bagaimana aku boleh makan jasad-jasad yang mana di dalam perutnya dipenuhi dengan Ayat-Ayat Al-Quran”

Dapat di fahami dari sabda Rasulullah di atas bahawa, jika kita menjaga Al-Quran yang kita sudah hafal, InsyaALLAH, ALLAH akan memelihara diri kita.

Namun begitu…..

 Sahabat-sahabat Al-Quran, sudahkah Al-Quran menakluki jiwamu? Menjadi kekasihmu, buah hatimu yang tiada bertepi? Ataukah manusia yang masih bertakhta di sanubari? Ataukah kasih manusia yang masih kau dambai? Pernahkah kau rasakan Al-Quran itu teman sejati? Adakah impianmu sekadar satu ilusi dalam fantasi..yang implikasinya tidak sama dengan realiti kehidupan Hamalatul Quran? Sahabatku… ingatlah, kita dipertemukan kerana Al-Quran, ukhuwwah mahabbah yang terjalin ini atas nama Al-Quran dan semoga perpisahan kita adalah semata-mata untuk meneruskan perjuangan demi Al-Quran.

 Ya Allah jadikanlah ana seorang Hamalatul Quran yang sejati dan hakiki, sebagai penyejuk mata, penawar hati setiap insan di muka bumi agar  kehadiran diri  ini di dunia ini dihargai. Berkatilah diri ini dengan anugerah kemulian yang Kau beri. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini sungguh indah tidak terperi dengan alunan ayat-ayat suci yang sentiasa bermain di mulut, di telinga dan di hati. Lantas itu ku pinta padaMu Ilahi, agar saat-saat akhir hayat diriku ini, alunan kalamMu jua yang mengiringi pemergianku…wassalam


0 comment: