:-:Kenapa Semua Orang Kena Hafal Al-Qur'an??:-:




Mengapa Al-Quran perlu dihafal? Mungkin pertanyaan ini pernah terlintas di hati anda. Bukankah mushaf sudah banyak jumlahnya dan mudah didapati……?
Sejarah telah mencatatkanAl-Quran telah dibaca oleh jutaan manusia sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Para penghafal Al-Quran adalah orang-orang yang dipilih oleh Allah (sepanjang sejarah kehidupan manusia) untuk menjaga kemurnian Al-Quran dari usaha-usaha pemalsuan, sesuai dengan jaminan Allah swt.
Allah swt berfirman mafhumnya;

“Sesungguhnya telah Kami turunkan Adz Dzikir ( Al-Quran dan Kamilah Yang menjaganya” ( Al-Hijr:9 )

“ Kemudian Kitab itu Kami wariskan kepada orang-orang yang Kami pilih di antara hamba-hamba Kami………..”( Faathir :32 )

Penyataan di atas hanya dapat difahami dan diterima dengan hati yang puas hanya bagi orang-orang yang menyadari hakikat Al-Quran itu sendiri. Al-Quran bukanlah kitab yang diwarisi dari generasi dahulu yang diabadikan begitu sahaja. Al-Quran adalah kitab yang memiliki ciri-ciri sebagai berikut;

1 Al-Quran sebagai manhajul hayah ( pedoman hidup) bagi seluruh manusia tanpa terkecuali.

Allah swt berfirman mafhumnya;

“ Bulan Ranadhan adalah bulan yang di dalamnya diturunkan Al-Quran swbagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda( antara yang hak dan yang bathil)…..” (Al-Baqarah :185)

Mengahafal Al-Quran merupakan cara untuk mengakrabkan orang-orang beriman dengan kitab suci sehingga dia tidak buta terhadap isi-isi yang ada di dalamnya.
Penentu Manhaj Hayah yang hakiki hanyalah Allah swt. Namun begitu ada sebahagian manusia yang merampas hak ini dengan pelbagai alasan. Kita dapat lihat mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekatkan hasil ciptaan mereka kepada semua lapisan masyarakat. Mereka mewajibkan kanak-kanak sehingga orang dewasa belajar bahkan menghafal dan meyakinkan mereka bahawa itulah satu-satunya pedoman hidup yang terbaik.
Sebagai umat Islam tidak ada alasan bagi kita untuk tidak menghafal Al-Quran kerana Al-Quran adalah kitab yang hak yang diturunkan kepada umat manusia untuk dijadikan pedoman hidup.

Allah swt berfirman mafhumnya;

“ Katakanlah: Hai manusia…. Sesungguhnya telah datang kepadamu Al-Haq ( kebenaran Al-Quran) dari Rabb kalian………..” (Yunus:108)

2 Al-Quran adalah Ruh bagi orang-orang yang beriman.

Allah swt berfirman mafhumnya;

“ Dan demikianlah Kami wahyukan ruhan (Al-Quran ) dengan perintah Kami.”
(Asy-Syuura:52)

Orang-orang yang menghafal Al-Quran bukanlah orang yang menghafal kata-kata yang tidak mengandugi misi khusus, sebagaimana orang yang menghafal syair-syair atau puisi yang ditulis oleh manusia. Namun sebenarnya dia sedang menghafal sesuatu yang dapat memberi kehidupan kepada jiwa, akal juga kepada jasadnya.

Oleh sebab itu, kita sering mendengar bahawa Al-Quran adalah Ghidza’ Ruhi ( santapan ruhani ). Ini bermakna ayat-ayat Al-Quran sangat diperlukan oleh ruhani kita, sebagaimana jasad kita memerlukan makanan. Kalau jasad kita boleh sakit sekiranya kurang makan, bererti ruhani kita juga akan sakit sekiranya kurang diberikan santapannya.

Ruhani yang sihat dan kuat kadang-kadang melebihi kekuatan jasad. Apatah lagi sekiranya kedua-dua unsur tersebut sihat. Orang-orang munafik yang enggan berjihad sebenarnya bukan kerana tubuhnya yang sakit, tetapi kerana ruhnya yang lemah dan tidak mempunyai kemahuan. Allah swt mempamerkan keadaan tubuh mereka dalam firmanNya yang bermaksud:

“ Dan apabila kamu melihat mereka, tubuh-tubuh mereka menjadikan kamu kagum. Dan jika mereka berkata kamu mendengarkan perkataan mereka. Mereka adalah seakan-akan kayu yang bersandar” (Al-Munaafiquun : 4)

“Tin kosong nyaring bunyinya.’ Itulah sifat orang munafik dalam kehidupannya. Sedang berbeza dengan mukmin yang Qur’ani, seperti shahabi ‘Amr Bin Al Jamu. Beliau adalah seorang yang kakinya pincang. Secara syr’i, kerana keadaannya beliau diperbolehkan untuk tidak ikut serta berjihad. Namun kerana ruhinya menyatu dengan syurga Allah, maka ia memaksa Rasulullah untuk mengizinnya ikut serta dalam jihad, seraya berkata;

“Demi Allah sungguh aku berharap dapat menginjak dengan kepincanganku ini
Al-Jannah”

Masih banyak lagi kisah para sahabat yang sebenarnya telah uzur, namun kerana semangatnya lebih kuat dari keadaan tubuh badannya, mereka dapat berjihad sehingga menemui syahid.

Tilawah Al-Quran, apatah lagi menghafalnya merupakan usaha sangat efektif untuk memperoleh ruh Al-Quran di samping ibadah-ibadah yang lain. Istiqamah dalam usaha ini sehingga ruh kita penuh dengan muatan ayat-ayat Allah, akan menjadikan kita kuat dalam mengharungi kehidupan. Hidup ini memang tidak terlepas dari ujian, baik terhadap diri mahupun keluarga.
Cukup banyak peristiwa yang terjadi pada diri para da’iyah yang mengalami ujian yang cukup berat, hanya kerana mereka menyeru kepada jalan Allah. Antara mereka ada yang dihumbankan ke dalam penjara yang di dalamnya terdapat pelbagai macam siksaan. Namun, dengan Al-Quran mereka menjadi tabah dan kuat menghadapi ujian yang berat itu. Nadimah Khatul, seorang mujahidat Afghanistan, patut dijadikan contoh.
Beliau bersama beberapa orang mujahidat lain,selama enam tahun merengkuk di dalam penjara rejim Najib. Beliau pernah berkata:

“ Kami mengalami pelbagai macam siksaan…..Namun halakat ( membaca dan mengkaji) Al-Quran dapat banyak membantu kami bersabar dan bertahan ( Majalah Al Jihad. No70 Ogos 1990).

Kejadian seperti ini telah banyak dialami oleh para da’i dari zaman dahulu sehingga sekarang. Hal ini akan terus dirasakan oleh sesiapa sahaja , selama ia memiliki kecintaan dan komit terhadap Al-Quran.

3. Al-Quran sebagai Al Dzikr ( Peringatan )

Allah swt menurunkan ayat-ayat Al-Quran kepada manusia, tentunya bukan tanpa tujuan, atau hanya sekadar digunakan dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja. Setelah itu Al-Quran dicampak sebagaimana dicampakkan kurma yang sudah busuk (istilah Abdullah Bin Umar Asshahabi)

Di dalam beberapa ayat, Allah menegaskan fungsi Al-Quran sebagai Al Dzikr. Antaranya,

Allah swt berfirman mafhumnya;

“ Al-Quran itu tdak lain hanyalah peringatan dan kitab yang memberi penerangan“ (Yaasin : 69 )

Namun tidak semua manusia mampu menjadikan Al-Quran sebagai kitab yang memberi peringatan. Berapa banyak orang yang faham isi Al-Quran bahkan banyak berinteraksi dengan Al-Quran, namun kehidupannya jauh dari menghayati Al-Quran. Fikrah dan akhlaknya bertentangan dengan kehendak Al-Quran. Inilah orang-orang yang disebut oleh Rasululllah saw sebagai orang yang merasakan Al-Quran di mulutnya sahaja, dan tidak pernah sampai kepada kerongkongnya. Sabdanya;

“Mereka membaca Al-Quran ( namun ayat-ayatnya) tidak mampu melampaui kerongkong mereka” (HR Muslim )

Untuk dapat menjadikan Al-Quran sebagai Al Dzikr diperlukan hati yang bersih dan keimanan kepada hari akhirat.




Allah swt berfirman mafhumnya;

“ Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat peringatan bagi orang-orang yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya, sedang dia menyaksikannya” ( Qaaf: 37 )

Firman Allah yang lain mafhumnya;

“ Maka berilah peringatan dengan Al-Quran kepada orang yang takut kepada ancaman-Ku”
( Qaaf:45 )

Oleh itu, sudah seharusnya ayat-ayat Al-Quran perlu untuk diulang-ulang sehingga hafal oleh orang-orang yang beriman. Dengan demikian mereka secara berterusan mendapat peringatan dari Allah dan lebih banyak hidup bersama ayat-ayatNya.

4 Al-Quran Sumber Pengetahuan Alam.

Sesuai dengan sifat Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Mengetahui, sudah sewajarnya Al-Quran sarat dengan ilmu pengetahuan. Penghafal Al-Quran adalah orang yang otaknya penuh dengan informasi Allah baik yang berbentuk bahagian-bahagian kecil maupun global. Al-Quran sebagai Manhajul Hayah menjelaskan tentang pendidikan, ekonomi, dan politik.

Umat Islam khususnya para da’iyah harus bangkit membangunkan kembali masa keemasan yang telah diraih oleh salafus shalih melalui Al-Quran. Mengahafal Al-Quran , memahami, dan mengamalkan isi kandungannya Insya Allah merupakan suatu usaha di antara sekian usaha yang dapat dilakukan oleh para da’i untuk mengembalikan kejayaan umat kepada Al-Quran sebagai pedoman hidup mereka.

( Dipetik dari buku “ Kiat Sukses Menjadi Hafidz Qur’an Da’iyah” oleh Ust. Abdul Aziz Abdul Rauf Lc. )