Tahniah Buat Dirimu..


Firman ALLAH TAALA dalam Surah Al-Anbiyaa'

" Setiap yang bernyawa akan merasai mati . Dan KAMI AKAN MENGUJI KAMU DENGAN KEBURUKAN DAN KEBAIKAN SEBAGAI CUBAAN.  Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami " 

Alhamdulillah , pada hari ini ana dan sahabat-sahabat ana sudah mendapat natijah masing-masing. Tahniah ana ucapkan buat sahabat-sahabat ana yang berjaya dan juga tahniah ana ucapkan pada sahabat yang diuji oleh ALLAH dengan sedikit kegagalan. 

Sedikit perkongsian buat sahabat-sahabat teman seperjuangan.

Sahabat, hakikat sebuah kejayaan atau kegagalan itu bukanlah diukur mengikut apa natijahnya ,tetapi kejayaan atau kegagalan itu dinilai mengikut apa natijah kehidupan kita setelah menerima natijah. Merujuk ayat di atas dalam Surah Al-Anbiyaa', dapat kita fahami bahawa setiap apa yang ALLAH TAALA berikan itu adalah berikan itu adalah ujian.

Berjaya dalam peperiksaan mahupun gagal dalam peperiksaan merupakan ujian kecil yang boleh dikira ujian tahap duniawi. Tetapi dari sudut yang lain , kita sebenarnya mempunyai banyak lagi ujian atau boleh juga ditafsirkan sebagai peperiksaan  yang belum kita tempuh.


Gagal dalam erti kata yang lain bukan bermaksud gagal selamanya . Tetapi , gagal itu bermaksud satu ujian di mana ALLAH TAALA mahu menilai atau mahu menguji kita setakat mana keimanan atau tahap kebergantungan kita padanya apabila kita menerima satu kegagalan. 

Di sini ana boleh simpulkan bahawa kegagalan itu terbahagi kepada 2 .

Pertama .

Ada di antara manusia yang menerima kegagalan , dan setelah itu ia Redha akan natijahnya dan menjadi semakin dekat dengan ALLAH dengan asbab kegagalannya. Manusia sejenis ini adalah manusia yang berjaya dan cemerlang atau dalam erti kata yang lain dia berjaya mengharungi dugaanNYA. Dan setelah itu dia berusaha bersungguh-sungguh kerana dia tahu faham sebuah kehidupan duniawi.

Kedua .

Golongan ini diuji dengan ALLAH dengan sebuah kegagalan . Mungkin dia gagal dalam kerjayanya atau pelajarannya atau mungkin dalam mendidik anak-anaknya. Maka , dia pun menyalahkan ALLAH dan menjadi orang yang semakin jauh dari ALLAH atau lebih dasyat lagi terus kufur pada ALLAH . Wanauzubillah Min Zalik. Jadi , hakikatnya orang ini lah yang boleh dikategorikan sebagai orang yang gagal segagalnya.

Ada pula golongan-golongan yang ALLAH TAALA pinjamkan nikmat kejayaan pada mereka , ia juga terbahagi kepada 2 golongan.

Pertama .

Ada pun orang yang ALLAH berikan kejayaan padanya. Tidak kira dalam apa jua bidang. Bagi peniaga , dia berjaya memperoleh keuntungan yang besar , bagi pelajar , ia berjaya mendapat semua subjek dengan natijah cemerlang dan suami dan isteri berjaya mendidik anak-anaknya menjadi insan yang berguna. Lalu dia bersyukur lalu dan dengan asbab kejayaan yang dianugerahkan itu , menjadikan dia semakin dekat dengan ALLAH TAALA. SubhanALLAH , hakikatnya inilah kejayaan yang sebenar dan hakiki.

Kedua .

Dan kita berlindung daripada menjadi golongan yang ini , kerana golongan ini bila mana ALLAH berikan dia nikmat , dia semakin sombong , kufur dan akhirnya jauh tersesat daripada jalan ALLAH. Wanauzubillah. Kejayaan atau nikmat yang ALLAH pinjamkan tidak lain dan tidak bukan seperti ISTIDROJ kepada dirinya.

Oleh itu sahabat , usahlah bersedih ataupun terlalu gembira dengan apa yang kita perolehi. Hakikatnya , dari sudut kehidupan dunia , kita mungkin gagal atau berjaya , tapi ia bukan bermaksud kita akan terus gagal ataupun berjaya sehingga ke akhirnya. Hakikat kehidupan kita hanyalah sebuah putaran roda yang mana kadang-kadang kita berada di bawah dan kadang-kadang kita akan berada di atas. Apa yang perlu , kita harus mempersiapkan diri dalam menghadapi sebarang dugaan NYA. 
Dan kita juga perlu ingat bahawa , kejayaan , kebahagiaan , ketenangan , derita , kesakitan , kegagalan mahupun apa sahaja yang kita alami adalah pinjaman ALLAH semata-mata dan bukan hak milik mutlak kita . Kita ini hamba dan kita ini tiada apa-apa yang mahu dibanggakan. Sedangkan jantung kita ini ALLAH yang gerakkan , apatah lagi kehidupan kita. Apa yang perlu Redha lah pada segala ketentuanNYA walaupun ianya pahit untuk ditelan.

Dalam Surah Yunus ayat yang ke 4 dalam Juzu'yang ke 11 , ALLAH TAALA berfirman 

"Sesungguhnya ALLAH TAALA tidak menzalimi manusia sedikit pun ,tetapi manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri "

Jelas pada ayat dia atas bahawa ALLAH TAALA itu tidak pernah menzalimi kita , tetapi kitalah yang banyak berbuat zalim pada diri kita sendiri. Lihat pada diri kita , pada saat kita asyik melakukan maksiat , ALLAH tetap memberi kita bernafas , dikala kita lupa akanNYA dan asyik dengan dunia , DIA tidak pernah lupa mahu memberi rezeki kepada kita. 
Sahabat , di sini ana menyeru diri ana sendiri dan sahabat-sahabat agar kita memuhasabah diri kita semula. Sabda Baginda SAW bahawa " Muhasabah diri itu adalah lebih baik daripada 1000 rakaat solat sunat ".

YA ALLAH , Kami bermohon padaMu agar Kau kuatkan diri kami yang lemah ini . 
YA ALLAH ,apalah yang ada pada kami , sedangkan jantung kami , darah kami ,pemikiran kami , hati kami , semua Engkau yang gerakkan. Kami sudah banyak melakukan kejahatan pada diri kami dan melakukan kemungkaran. Kami padamu YA ALLAH agar kau ampunkan segala dosa-dosa kami kerana kami tahu sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penerima Taubat.
YA ALLAH , berilah kami kekuatan dalam mengharungi segala cabaran dan dugaan dalam menjalani kehidupan ini. Sesungguhnya hanya padaMU kami berserah diri dan memohon segalanya.
Buat renungan..

 





0 comment: