cerpen muhasabah

“Anakku, apakah tujuan utama kamu mengahwini anak perempuan ayah?” Saya masih ingat. Itulah persoalan pertama yang terpacul keluar daripada mulut ayah mentuaku. Ketika itu, saya baru sahaja menunaikan solat Asar bersamanya di Masjid. Hari itu hari kedua saya di rumah baru saya. Akad nikah semalam agak memenatkan saya. Saya menghabiskan masa dengan berzikir dan bersolat pada malamnya. Saya langsung tidak sempat untuk berbual panjang dengan isteri saya yang tercinta. Kami tidur berasingan. Saya ingin ibadah, ujar saya kepadanya. Harap isteri saya memahami kehendak saya yang semakin kecamuk rindukan zikir.“Ayah, saya berharap, saya dapat menunaikan amanat Allah, memelihara keluarga daripada sambaran neraka. Saya berharap, perkahwinan kami adalah perkahwinan akhirat bukannya dunia. Perkahwinan hati bukannya nafsu. Perkahwinan kerana menuruti sunnah bukannya mengikuti bisikan syaitan.”
Ayah mentua saya terdiam mendengar ujar saya. Beliau seorang yang sangat pengasih dan cintakan masjid. Beliau seorang yang berilmu dan kasihkan orang yang berilmu. Maka saya harus melengkapkan diri saya dengan pakej sepertinya.Saya tidak melalaikan isteri saya dengan bujukan-bujukan dunia. Sebaliknya saya mesti melalaikan isteri saya dengan keasyikan beribadah kepada Allah. Sebagai suami, saya dicipta bukan untuk melalaikan mujahidah. Sebagai suami, saya mesti memandu isteri saya mendekati Allah dan saya harus bersabar di atas jalan yang mulia ini.Saya tidak mampu menjamin kesenangan dunia kepadanya. Namun saya berusaha untuk menjinakkan nafsunya dan tunduk sepenuhnya kepada Pencipta. Kelak apabila Allah bertanya kepada saya, “Apakah makna perkahwinan kamu?” Saya akan menjawab, “Erti perkahwinan kami terletak kepada susah payah kami mencari dan mengejar hakikat diri-Mu wahai Tuhan Yang Maha Pengasih.”Saya membimbing isteri, isteri saya juga membimbing saya. Kami mesti saling bergerak melangkah ke arah kehidupan akhirat yang penuh dengan nikmat. Pembebasan dari neraka, itu misi utama saya. Itu yang saya tegaskan kepada ayah mertua saya, dengan penuh keazaman.“Ayah, nafsu mengajak saya agar tenggelam dalam manja seorang isteri saya. Hati saya pula mengajak saya agar jatuh ke haribaan Tuhan. Saya takut di saat saya bergembira dengan isteri saya, kegembiraan itu sebenarnya merupakan tiket ke neraka. Biarlah kami hidup susah payah asalkan kesusahan itu jaminan ke syurga, ayah,” ujar saya, sedikit sebak.Ramai orang berilmu namun ia angkuh dengan ilmunya. Maka lebih baik orang yang kurang ilmu namun ia berakhlak mulia. Ramai orang yang banyak ibadahnya namun memandang rendah kepada orang lain. Lebih baik sedikit ibadah namun perasaan sangka baik sentiasa menghiasi diri. Ramai yang berkahwin dan menyangka agamanya hampir separuh tersempurna. Walhal sebenarnya perkahwinan tu bakal mengheretnya ke neraka. Wal’iyazabalillah.Suami itu adalah raja’, harapan isteri untuk menyelamatkannya daripada lembah jahannam. Isteri itu khauf, menjadi ketakutan pada suami sehingga mendesak mereka melakukan amal sebaiknya.Celakalah seorang isteri yang hanya pandai menarik perhatian suaminya dengan kecantikan zahiriyah. Namun bahagialah seorang isteri yang pandai menarik suami dengan ketinggian Iman. Celakalah suami yang hanya pandai menambat hati isteri dengan harta dan emas. Namun bahagian bagi suami yang pandai menambat hati isterinya dengan limpahan taqwa dan tawakal.Yang menentukan kebahagian rumah tangga adalah Allah. Bukan suami dan bukan isteri. Maka suami dan isteri yang jauh dari lembah keimanan tidak akan mampu mengecapi kemanisan Iman dalam berumah tangga.Kata guru saya, sebelum saya menuju alam perkahwinan, “Ramai berkahwin kerana ingin menjaga keimanan. Tapi tidak ramai yang ingin menjaga keimanan dengan berkahwin.“Ramai yang sibuk mencari pendapatan untuk berkahwin untuk dijadikan hantaran. Namun tidak ramai yang mempersiapkan Iman untuk menghadapi alam tersebut.”Nasihat itu, amat menyengat jiwa.

1 comment:

a l h a n z a l a h

wah, best la artikel nie.. teruskan update...!!