Sahabat yang dirahmati Allah, sombong adalah penyakit berbahaya, di mana jika penyakit ini bersarang di hati, nescaya akan mendorong pelakunya untuk melakukan dosa yang akan menjauhkannya dari syurga dan mendekatkan ke neraka. Sombong adalah sebuah penyakit yang akan menjadi penghalang bagi pelakunya dari syurga dan keselamatan. Sombong ibarat racun yang berada di dalam hati, jiwa dan perasaan. Di mana racun itu akan menyerap dalam jiwa , harta, kedudukan, kekuatan, kemampuan dan ilmu seseorang. Racun dalam jiwa manusia yang tidak akan boleh lepas dari was-was syaitan dan beranggapan bahawa ia adalah orang yang paling penting atau mempunyai kedudukan tinggi. Orang yang sombong, mula-mula sombong dengan manusia, lama kelamaan dia akan menjadi sombong dengan Allah s.w.t.
Penyakit sombong ini boleh ibaratkan seperti setitik noda dalam jiwanya jika hati telah ternoda dengan noda-noda kesombongan ini, si pemilik hati seperti itu selamanya akan berada di dalam keracunan, ia tidak akan boleh berlaku adil atau mengikuti kebenaran. Sombong adalah kegelapan. Kegelapan yang menyelimuti bashirah manusia sebelum menyelimuti akal fikirannya. Tatkala kesombongan menyelimuti mata hatinya, saat itu pula kesombongan menyelimuti akal fikirannya.
Sahabat yang dimuliakan, sombong adalah sifat mazmumah, manusia yang sombong adalah mereka yang menolak kebenaran dan tidak menghargai kebolehan atau kelebihan orang lain. Lazimnya orang yang sombong suka berdusta dan bercakap bohong. Sombong adalah pakaian Allah, sesiapa yang cuba mengambil pakaian Allah, maka Allah akan murka dan akan memasukkan ke dalam neraka. Kesombongan sebenarnya menghalang seseorang untuk membuat kebajikan dan tidak segan silu akan melecehkan orang lain. Allah sama sekali tidak suka jika ada hambaNya yang dilecehkan. Dia Maha Benar dan mencintai kebenaran, sebagaiman Dia Maha Indah Yang mencintai keindahan
Oleh itu, marilah sama-sama kita jauhkan diri kita dari sifat sombong. Lawan dari sifat sombong adalah sifat tawadduk iaitu sifat merendah diri. Hiasilah diri kalian semua dengan sifat-sifat tawadduk, lemah lembut, sopan santun, berbudi bahasa dan menghormati orang lain walaupun terhadap anak-anak kecil.
0 comment:
Catat Ulasan