HIBURAN YANG DIANJURKAN ISLAM


Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu IMAN. Firman ALLAH S.W.T dalam Al-Quran yang tafsirnya : 

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada ALLAH. Ketahuilah! Dengan zikir kepada ALLAH itu,tenang tenteramlah hati manusia ”.(Surah Ar-Ra’ad : 28). 

Oleh itu, orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan ALLAh dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah, dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan ALLAH S.W.T, dan menerima segala ketentuan daripada ALLAH S.W.T. Apabila melaksanakan perintah ALLAh, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut. Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh ALLAH. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan ALLAH, membuatkannya tidak pernah resah.

Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka tehibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman ALLAH S.W.T. yang tafsirnya : 

“(katakanlah wahai orang-orang yang beriman : “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah) :celupan ALLAH (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam) : dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada ALLAH? (kami tetap percayakan ALLAH) dan kepadaNya lah kami beribadat ”.
(surah Al-Baqarah : 138). 

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan ALLAH S.W.T.. mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit-bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran penciptanya. Sifat yang demikian merupakan sifat orang-orang yang bertakwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hokum dan undang-undang ALLAH S.W.T.. firman ALLAH tafsirnya :

“Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh ALLAH di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan ALLAH) kepada kaum yang bertakwa ” (Surah Yunus : 6 ). 

Selain itu, mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah S.A.W. yang maksudnya : 

“Sesungguhnya ALLAH itu indah. Dia suka keindahan”.
(Hadis riwayat Muslim).

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalam hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Quran, selawat yang memuji nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman ALLAH yang tafsirnya : 

“Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Quran yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya,dengan berbagai cara) : yang (oleh kerana mendengarnya atau membaca) kulit badan orang-orang yang takut kepada tuhan mereka menjadi seram : kemudian kulit badan menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat ALLAH”.
(Surah Az-Zumar : 23 ). 

Rasulullah S.A.W. dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertakwa sudah terhibur. Baginda bersabda yang maksudnya : 

“ Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang”.
(Hadis riwayat An-Nasai’e)


WALLAHUA'LAM.

0 comment: