Bagaimana Auratmu....


Salam persaudaraan seaqidah buat semua pemilik  hati yang menagih kebaikan.

Pernahkah kalian melihat jam tangan Swatch Swiss diletakkan dalam plastik seperti sekadar  bungkusan membeli roti?Atau  jam tangan tersebut  akan dipamerkan dalam bekas kaca atau setidak-tidaknya disimpan di dalam sebuah kotak yang meyakinkan pembeli bahawa jam tangan itu merupakan yang asli dan terjamin kualitinya.Apakah perumpamaan yang dibawakan sekadar salah satu insiden biasa dalam kehidupan,ataupun terdapat pengajaran yang boleh kita ambil daripada cerita seutas jam tangan mewah Swatch Swiss?

Sahabat yang dikasihi,

Kita sudah seringkali bercakap tentang batasan aurat yang digariskan dalam Islam.Jika disoal,tentu sekali  pengetahuan itu sudah sebati dengan diri warga PERUBATAN khususnya.Namun apakah yang menjadikan kita seringkali merasa berat untuk menjaga batasan itu sepenuhnya,baik dalam apa jua keadaan.Bagi mereka yang sudah selesai bab penjagaan aurat ini,soalan seterusnya ialah adakah kita sentiasa menghadirkan dalam diri,bahawa menutup aurat merupakan salah satu syiar Islam yang memuliakan darjat kita sendiri.

KITA BERBEZA

Sebaik sahaja seseorang bergelar Muslim,dia telah memilih jalan yang sepatutnya berbeza dengan individu yang tidak bersaksikan bahawa Allah itu Maha Esa,dan Muhammad pesuruhNya.Tidak  mungkin sama,golongan yang tunduk membenarkan kewujudan Tuhan Penciptanya,dengan golongan yang angkuh dan kufur. Oleh itu,salah satu perkara yang membezakan antara kedua-dua golongan yang disebutkan ialah ‘dressing code’ yang disyariatkan kepada umat pilihan Allah ini. Mereka diperintahkan untuk menjaga bahagian-bahagian tertentu pada tubuh masing-masing. Rasailah bahawa perkara ini merupakan satu kemuliaan,apabila Allah mengkhususkan cara pemakaian untuk kita bagi membezakan hamba-hambaNya yang beriman dengan manusia-manusia lain seluruhnya.

MENJAGA KEHORMATAN DAN MENJAMIN KESEJAHTERAAN

Perintah ini jika diamati merupaka satu keistimewaan dan salah satu cara untuk memelihara umat Islam sendiri. Kita perlu yakin bahawa dalam Islam apabila Allah menurunkan sesuatu perintah,kesejahteraan kepada individu yang diperintah adalah merupakan suatu jaminan yang pasti.Bagi seorang muslimah,seluruh bahagian tubuhnya menjadi perhatian seorang lelaki.Maka wajarlah mereka melindunginya,selari dengan apa yang digariskan syarak bagi mengelakkan dirinya menjadi mangsa kerakusan nafsu makhluk yang hilang pedoman.Tidakkah ini yang dinamakan jaminan kesejahteraan yang dijanjikan???

Analogi tentang jam tangan Swatch Swiss tadi mudah sekali dikaitkan dengan hikmah umat Islam diperintahkan untuk menutup bahagian tertentu pada tubuh mereka yang dianggap sebagai AURAT, tidak kira lelaki mahupun wanita.Hal ini kerana setiap individu muslim itu merupakan ‘barang’ yang mahal. Sudah menjadi hukum alam,sesuatu yang mahal dan berharga pastinya dibalut,disimpan dan dijaga dengan baik bagi mengelakkan ia cepat rosak atau tidak tahan lama.

TINGGALKAN YANG BUKAN MILIK KITA

Jika seseorang menyayangi dirinya yang mahal itu,tentu sekali jasadnya akan dilindungi dengan baik supaya tidak menjadi tontonan percuma golongan yang tiada hak ke atasnya.Hal ini kerana perbuatan tersebut tidak membawa sebarang keuntungan selain mengurangkan nilai yang ada pada dirinya.

Namun,dalam kita menjaga aset berharga yang berada dalam lingkungan diri masing-masing,satu cabaran yang besar apabila terdapat golongan yang menawarkan kepada kita ‘barang berharga’ yang ada pada diri mereka sendiri.Hakikatnya,kita langsung tidak  berhak ke atas ‘barang’ yang diperagakan itu,tambahan pula  ia ditawarkan  oleh tangan  yang HANYA diamanahkan untuk menjaganya.

Demikianlah keadaan realiti kehidupan kita pada hari ini.Bukan setakat aurat sendiri yang perlu dijaga,tetapi benteng pertahanan pada diri sendiri perlu diperteguhkan agar mampu menepis godaan yang menyeronokkan atau bersifat nafsu syahwat semata-mata.Benteng yang dimaksudkan dapat disimpulkan dalam satu istilah bahasa Arab iaitu ghaddul basar  atau menundukkan pandangan.

Teringat akan pesanan Rasulullah SAW kepada umat tercinta,bahawa pandangan itu merupakan salah satu bentuk panahan syaitan.Kata orang-orang tua kita,dari mata jatuh ke hati.Apabila mata menyaksikan sesuatu,maklumat yang dihantar ke otak akan diproses dan akan cuba difahami sebaiknya.Sekiranya  maklumat yang sampai iaitu hasil daripada pemerhatian mata tadi merupakan kemaksiatan dan perkara yang dilarang,tidak mugkin ia mampu ditafsirkan sebagai sesuatu yang baik.

MENJAGA DIRI DAN PANDANGAN UNTUK MENDAPAT HASIL YANG BAIK

Para sahabat jagaan Allah sekalian,

Ilmu itu merupakan cahaya,dan cahaya tidak akan menerangi hati-hati yang banyak melakukan maksiat.Baik maksiat itu datang daripada diri kita sendiri atau pun orang lain dan kita cuma mengambil saham dosanya sahaja.Anggaplah ilmu di dada kita ini ibarat sebuah mangkuk yang penuh berisi air.Apabila mangkuk tersebut dicampurkan dengan batu yang diumpamakan sebagai maksiat,maka airlah yang yang terkeluar daripada mangkuk tersebut,bukannya batu tersebut,atau dalam erti kata lain ilmulah yang akan hilang sekiranya maksiat kita mencampuradukkan dalam diri masing-masing.Oleh itu,sebagai musafir yang mencari bekalan ilmu di bumi anbiya’ ini,mari kita sama-sama menjaga diri dan persekitaran supaya sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah.Tiba masanya kita laksanakan perintah Allah yang akan menambah kasih sayangNya,tinggalkanlah segala yang akan menambah kemurkaanNya
“barangsiapa yang meninggalkan sesuatu kerana Allah, nescaya Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripada itu.” (HR Ahmad)

0 comment: